Saturday 27 September 2014

5 Hari Lagi Wukuf


Persiapan haji bagi jemaah Malaysia telahpun bermula di Arafah, Muzdalifah dan Mina dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang Rabu depan, dua hari sebelum hari wukuf yang merupakan kemuncak ibadah haji.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata persiapan di Arafah dijangka selesai sepenuhnya menjelang Rabu.

Arafah terletak kira-kira 22 km dari Makkah sementara Mina pula 7 km dan Muzdalifah pula 10 km.

Sebanyak 22,320 jemaah haji Malaysia akan bergerak ke Muzdalifah dari Arafah selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah dan selain beribadah di kawasan tanah lapang tanpa bumbung tetapi dengan kemudahan asas seperti tandas, para jemaah akan mengutip ketulan batu-batu kecil untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah di Mina.

Syed Saleh berkata persiapan di Mina, terletak kira-kira 7 km dari Makkah, apabila para jemaah akan bermalam selama 3 malam untuk lontaran tiga jamrah, sudah 80 peratus siap.

Khemah-khemah berwarna putih dan infrastruktur asas telahpun disediakan.

Beliau berkata susulan pengumuman oleh Mahkamah Agung Arab Saudi bahawa Hari Arafah jatuh pada 3 Oktober bersamaan dengan 9 Zulhijjah, ia lebih mudah untuk mempercepatkan kerja-kerja bagi memastikan semuanya siap sebelum jemaah haji Malaysia mula bergerak pada Khamis.

Jemaah haji akan mula bergerak ke Arafah dalam tiga peringkat, kumpulan pertama akan meninggalkan Makkah pada 11 pagi Khamis, kumpulan kedua pada 2 petang dan kumpulan ketiga kira-kira 4 petang sebagai persiapan untuk mengerjakan Wukuf pada Jumaat dengan menaiki bas, kata beliau.

Beliau berkata berdasarkan keadaan cuaca Arab Saudi, cuaca semasa mengerjakan ibadah Masyair selama enam hari dijangka kering dan panas.

"Tidak ada hujan tetapi angin kencang tidak akan menjejaskan akiviti jemaah haji," kata beliau.

Syed Saleh berkata pasukannya berusaha bagi memastikan semua jemaah haji Malaysia termasuk di Hospital Tabung Haji dan Arab Saudi, dapat dibawa ke Arafah untuk Wukuf.

Setiap tahun, jemaah haji Malaysia yang sakit dibawa dengan ambulans ke Arafah bagi memastikan rukun haji mereka terlaksana.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...