Friday 26 September 2014

PRK Pengkalan Kubor: Yang Tersirat...



Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti undi yang semakin besar pada PRK Pengkalan Kubor menghulur isyarat bahawa parti itu semakin diterima rakyat, kata penganalisis politik.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, jumlah majoriti undi BN yang meningkat sekali ganda adalah di luar jangkaan.

"Pada peringkat awal, saya tidak menjangkakan bahawa majoriti yang diterima BN sebegini besar dan peningkatan majoriti adalah hampir 1,000," katanya.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kemenangan BN bukanlah suatu petanda bahawa parti itu semakin kuat, tetapi strategi yang digunakan untuk meraih sokongan pengundi dilihat semakin berkesan.

"Tambahan pula PAS sekarang mengalami masalah dalaman yang membabitkan pertembungan kumpulan ulama dan profesional, sekaligus menghakis semangat jentera untuk berkempen secara agresif. Ini memberi kelebihan kepada BN."

Calon BN, Mat Razi Mat Ail, menang dengan majoriti 2,635 undi selepas mendapat 9,961 undi, mengalahkan calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim, yang memperoleh 7,326 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, menerima 38 undi sahaja.

Samsul Adabi berkata, kesepaduan jentera BN ditambah dengan hampir 3 ribu program kempen sepanjang PRK, yang berlangsung selama 12 hari sejak 13 September lepas, mempengaruhi peningkatan undi.

Beliau tidak menafikan andaian bahawa kelemahan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan, pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob juga faktor penyumbang yang mendorong pengundi khususnya atas pagar memberi undi kepada BN.

"Mat Razi mendapat 9,961 undi dan daripada jumlah itu 7,000 adalah anggota UMNO dan BN, manakala baki itu adalah pengundi atas pagar. Mereka yang di atas pagar ini semakin bosan dengan janji yang ditaburkan PAS malah calonnya juga dilihat tidak mesra rakyat.

Saya berkesempatan bertemu dan berbual ketiga-tiga calon ini pada hari penamaan calon dan saya berpendapat calon BN mempunyai ketokohan dan penampilan baik termasuk sikap mesranya.

Calon Bebas juga mempunyai penampilan lebih baik daripada calon PAS yang lebih banyak mengambil sikap berdiam diri. Ini yang tidak dikehendaki pengundi," katanya

Samsul Adabi berkata kelemahan kepimpinan PAS di Kelantan juga memberi kelebihan kepada BN dalam usaha mengekalkan kerus DUN Pengkalan Kubor. Beliau tidak menolak faktor pengundi luar yang tidak pulang mengundi juga menjadi penyumbang kepada kemenangan BN di kerusi tersebut lapor Agenda Daily.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...