Friday 19 September 2014

Maurinho : Costa Tidak Bersedia Turun Perlawanan


Jose Mourinho mendedahkan Diego Costa ketika ini tidak bersedia untuk diturunkan tiga perlawanan dalam seminggu selepas penyerang berbisa Chelsea itu berdepan kecederaan hamstring ketika beraksi bersama Sepanyol.

Costa yang mempamer aksi cemerlang di permulaan musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan meledak tujuh gol daripada empat perlawanan begitupun hanya dimasukkan selaku pemain gantian ketika perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Schalke di laman sendiri, awal pagi tadi yang berakhir seri 1-1.

Mourinho berkata kecederaan dialami Costa perlu diberi rawatan sebaik mungkin bagi menghalangnya daripada bertambah buruk selain mengelak potensi kehilangan khidmatnya dalam tempoh yang lama.

"Costa ketika ini berdepan masalah dan dia ketika ini tidak boleh bermain dalam tiga perlawanan seminggu," kata Mourinho.

"Selepas bermain pada Sabtu lalu, tiga hari tidak cukup untuknya pulih. Ia bukan kerana kami ingin menyimpannya untuk perlawanan menentang Manchester City pada Ahad ini. Ia adalah kerana hari ini dia tidak berada pada keadaan untuk beraksi.

"Dia mula beraksi bersama kami musim panas ini dan keadaannya ketika itu cukup baik. Dia berdepan kecederaan bersama pasukan kebangsaan, dan kini kami berdepan masalah dan kami akan cuba merawatnya sebaik mungkin.

"Saya tidak tahu berapa lama dia akan berada dalam situasi ini. Namun kami perlu menanganinya.

"Ia berlaku kepada Diego dan berlaku kepada pemain lain yang beraksi bersama pasukan kebangsaan. Saya bukannya mengkritik, namun ia adalah realitinya," kata pengurus kelahiran Portugal itu.

Kecederaan Costa jelas memberi tamparan besar buat Chelsea yang terpaksa berpuas hati diikat Schalke sekalipun terlebih dulu di depan menerusi jaringan Cesc Fabregas hasil hantaran Eden Hazard pada minit ke-11.

Sekalipun memperoleh beberapa peluang terbaik menambah jaringan, ketumpulan jentera serangan memaksa keputusan kekal selepas Klaas Jan Huntelaar meledak gol penyamaan buat Schalk pada minit ke-62.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...