Friday 19 September 2014

PRK Pengkalan Kubor: Polis Mengundi Esok


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor membabitkan anggota polis akan diadakan pada Ahad ini.

Pengundian awal itu hanya diadakan di satu tempat iaitu Dewan Delima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat yang dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 3 petang.

Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, daftar pemilih yang digunakan ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 bagi DUN berkenaan yang digabungkan dengan daftar pemilih Tambahan Suku Pertama 2014 yang diperkemas kini sehingga 20 Ogos lalu.

"Daftar pemilih itu mengandungi 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 orang pengundi biasa, 109 orang pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

"Selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada, dakwat kekal akan digunakan dalam pengundian awal ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, proses pengundian awal itu akan disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di PRK DUN Pengkalan Kubor.

Di samping itu, katanya, pemerhati tempatan yang terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang dilantik oleh SPR juga dibenar masuk ke pusat pengundian itu dengan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pusat Pengundian Awal akan ditutup pada pukul 3 petang. Kertas undi tidak akan dikira di saluran atau tempat mengundi, sebaliknya akan disimpan di tempat yang selamat seperti di lokap polis," katanya.

"Kertas-kertas undi itu hanya akan dikira pada hari pengundian secara berkelompok di tempat-tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR manakala urusan pengiraan undi disaksikan oleh ejen-ejen calon," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...