Saturday 27 September 2014

PKR Balas Dendam - Syed Ali AlHabshee


PAS disifatkan menjadi mangsa dendam PKR dengan mengurangkan jumlah perwakilan parti itu dalam barisan exco Selangor dan menggugurkan dua exconya iaitu Sallehin Mukhyi dan Dr Halimah Ali.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali AlHabshee berkata, ia rentetan PAS menolak pencalonan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar (MB) Selangor.

"Tindakan menggugurkan satu exco dari PAS bukan sahaja dilakukan kerana niat membalas dendam, juga kerana mahu menendang keluar PAS dari Pakatan Rakyat.

"Penambahan dua exco dari PKR iaitu Amiruddin Shaari dan Nik Nazmi Ahmad sudah jelas membuktikan bahawa parti itu tidak menghormati PAS sebagai rakan sekutu," katanya di dalam catatan di laman blognya di umnobahagiancheras.blogspot.com.

Ujar Syed Ali lagi, ia turut dilihat usaha memastikan Pakatan Rakyat terus didominasi PKR dan DAP sebagai ‘abang besar’ Pakatan Rakyat dan dilakukan kerana mahu meluas pengaruh Anwar Ibrahim dalam mempengaruhi segala keputusan kerajaan negeri Selangor.

"Saya sudah memberitahu sejak dulu lagi, PAS kena membuat satu keputusan berani keluar dari Pakatan Rakyat dan bekerjasama dengan UMNO memperjuangkan kepentingan Islam dan bangsa Melayu.

"Bagi memastikan martabat Islam dan Melayu terbela di negara ini, PAS kena bersama-sama dengan parti Melayu seperti UMNO.

"Sampai bila PAS harus membiarkan parti itu terus diperlekehkan oleh sekutu yang tidak akan bersama-sama PAS memperjuangkan Islam," katanya.

Jelasnya, kemelut politik yang melanda negeri Selangor berhubung pelantikan MB mempunyai seribu hikmah dan memberi peluang kepada PAS menilai keikhlasan PKR dan DAP.

"PAS harus melihat kepentingan Islam dan Melayu mengatasi kepentingan Pakatan Rakyat. Sudah jelas lagi bersuluh bahawa PKR dan DAP bukannya parti yang benar-benar tulen dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Pada Jumaat, 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat Selangor mengangkat sumpah sebagai Exco bagi penggal 2013-2018.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Akujanji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan berlangsung penuh istiadat dihadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...