Sunday 28 September 2014

Bajet 2015 : Naik Gaji Saja Tak Cukup


Kakitangan kerajaan sedang melobi kerajaan untuk lebih daripada sekadar kenaikan gaji menjelang Bajet 2015 yang akan dibentangkan bulan depan kerana mereka risau dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang mewakili lebih sejuta kakitangan awam, sekian lama mendesak kerjaan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk membantu mereka yang dalam kategori berpendapatan rendah di bawah RM3,000.

Kira-kira 60% atau 630,000 daripada 1.05 juta kakitangan kerajaan memperoleh hanya RM3,000 atau kurang sebulan.
Presiden Cuepacs Azih Muda berkata bagi kumpulan ini, kenaikan gaji pada skim sekarang tidak cukup untuk menampung kos sara hidup yang tinggi, yang mana sewa dan pemilikan rumah mengambil sebahagian besar gaji mereka.
“Ada pegawai yang bekerja 10 tahun sejak habis belajar universiti tetapi masih tidak mampu memiliki rumah sendiri," katanya yang juga mengetuai Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Pihak berkuasa Tempatan.
Gaji seorang pegawai dengan ijazah pertama bermula dengan RM2,200 sebulan. Mengikut skala gaji kerajaan sekarang, selepas 10 tahun, gajinya hanya akan naik kepada RM3,400.
“Bagaimana dia mampu membeli rumah, menyara keluarga, bayar pinjaman pendidikan dan pinjaman kereta, semua pada satu masa,” katanya dalam temubual, baru-baru ini.
Walaupun sekiranya kerajaan bersetuju memberi kenaikan gaji dalam bajet tahun ini, Azih tidak yakin ia akan mencukupi untuk beberapa bulan akan datang kerana harga barang keperluan dipercayai akan naik.
Terutamanya kerana semuanya akan naik 6% tahun depan dengan pengenalan GST.
Pada Khamis, Jabatan Perkhidmatan Awam menafikan laporan media yang kakitangan kerajaan akan mendapat kenaikan gaji mulai tahun depan.
Azih berkata, mengikut skala sekarang, gaji bagi penjawat awam yang berada pada peringkat paling rendah seperti pemandu, kerani dan staf kaunter, akan meningkat sebanyak RM80 sebulan.
Sementara pengarah jabatan dan ketua setiausaha kementerian boleh menikmati sebanyak RM320 kenaikan sebulan.
Cuepacs terdiri daripada 130 kesatuan yang mewakili 70% (1.05 juta) daripada sejumlah 1.5 juta penjawat awam di Malaysia.
Kumpulan yang 70% ini dianggap pelaksana dasar kerajaan sementara yang selebihnya ialah dalam kategori pembuat keputusan.
Beliau berkata, ada kakitangan kerajaan yang menolak tawaran kenaikan pangkat sekiranya ia melibatkan perpindahan tempat kerja ke bandar besar seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baru di mana kos sara hidupnya tinggi.
"Kenaikan pangkat itu mungkin hanya membawa lebihan gaji sekitar RM80 atau RM100 sebulan. Tetapi, kos berpindah ke bandar dan memulakan hidup bersama keluarga di sana, jauh lebih tinggi."
Daripada sekadar melihat kepada faktor gaji, Azih berkata Cuepacs melobi kerajaan untuk masuk kembali ke pasaran perumahan dan membekalkan lebih rumah mampu milik.
Pada masa sama, ia mahu kerajaan mengkaji semula dasar yang memotong kos sara hidup (COLA) dan elaun perumahan penjawat awam yang memilih untuk tinggal di kuarters kerajaan.
Kakitangan kerajaan mendapat COLA di antara RM200 dan RM300 bergantung kepada bandar tempat tinggal mereka. Mereka juga menerima elaun perumahan RM180 sebulan.
"Tetapi, kalau kamu tinggal di kuarters, COLA akan dipotong 50% dan elaun perumahan juga tiada lagi. Lebih baik kerajaan mengklasifikasi kuarters sebagai perumahan awam,” katanya.
“Sewa perumahan awam, seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) ialah RM124 sebulan,” katanya lapor The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...