Friday 19 September 2014

Sesuatu Yang Tidak Mengejutkan.....Bahagian 2



Pembangunan tanah rizab Melayu secara ekstrem akan hanya terus meminggirkan orang Melayu ketika mereka dilihat masih terkebelakang dalam penguasaan ekonomi.

Pakar Sejarah, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata kerajaan tidak seharusnya terlalu 'ghairah' membangunkan tanah rizab Melayu dan dijual kepada bukan Bumiputera dan orang asing, sehingga akhirnya orang Melayu sendiri terpinggir.

"Adalah lebih baik membangunkan tanah berkenaan apabila golongan Melayu itu benar-benar mampu dan bersedia berbanding membangunkannya dan membuka peluang kepada kaum lain yang tidak layak untuk memiliki tanah itu.

Lebih mengecewakan, banyak kerajaan negeri yang terlalu memikirkan untuk membangunkan tanah berkenaan sehingga lupa untuk menggantikan semula tanah itu," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas laporan media bahawa tanah rizab Melayu kini tinggal 12 peratus di Semenanjung Malaysia.

Justeru itu, Zainal berkata undang-undang dan sistem tanah simpanan Melayu perlu dilihat semula bagi memastikan tanah rizab Melayu terus dilindungi seterusnya bagi menjaga hak dan kepentingan orang Melayu.

"Semua pihak perlu kembali semula kepada undang-undang tanah simpanan Melayu, bermakna tanah yang sudah diambil mesti didapatkan semula dan disimpan.

Ia perlu dijadikan asas bagi menyimpan hak orang Melayu, jika tidak tanah berkenaan akan berkurangan dan tidak mustahil terus hilang," katanya.


Berkongsi pandangan sama, Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya, Majlis Profesor Negara Prof Dr Kamaruddin M.Said berkata kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap penyusutan tanah rizab Melayu kerana ia jelas tertakluk di bawah bidang kuasa mereka.

"Kuasa di tangan mereka (kerajaan negeri) jika mahu tanah rizab Melayu terus dilindungi," katanya.

Tokoh Sejarawan Negara Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berpandangan takrifan 'Melayu' perlu diberi perhatian bagi memastikan tanah berkenaan dijual kepada mereka yang selayaknya.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan takrifan Melayu ialah orang Melayu itu mestilah beragama Islam, bertutur menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat budaya Melayu.

"Timbul kekeliruan apabila dikatakan orang yang memeluk Islam itu adalah orang Melayu, dan kaum Bumiputera seluruhnya adalah kaum Melayu, perkara ini perlu diperbetulkan dan difahami dengan jelas," katanya.


Prof Madya di Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berkata mana-mana kerajaan negeri yang menyalahgunakan penjualan tanah rizab boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan telah menyebut tanah rizab Melayu yang mahu dibatalkan dan dipindah hak milik perlulah digantikan dengan kawasan sama sifat dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan.

Justeru kerajaan negeri perlu amanah dan jika tanah itu dibatalkan status untuk tujuan pembangunan, maka perlulah diganti dengan serta merta," katanya.


Di SEREMBAN, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan Datuk Mohd Bahrudin Mahfuz berkata tanah rizab Melayu di Negeri Sembilan masih terpelihara di mana keluasan tanah tersebut merangkumi 47 peratus daripada tanah di seluruh negeri.

Katanya antara faktor penyumbang kepada peningkatan keluasan tanah rizab Melayu ialah ramai pemilik tanah yang berbangsa Melayu memohon untuk ditukar status tanah mereka kepada status tanah rizab Melayu kerana didorong oleh cukai tanah yang separuh dari cukai tanah biasa.

Di PULAU PINANG, Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Pulau Pinang (JKPTGPP) Kamarul Haizal Koderat berkata Pulau Pinang tidak mempunyai Tanah Rizab Melayu dan negeri itu hanya mempunyai Tanah Rizab Persekutuan iaitu tanah yang boleh digunakan oleh jabatan-jabatan tertentu di bawah kerajaan persekutuan.

Manakala Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) Tan Sri Mohd Yussof Latiff mencadangkan negeri-negeri bersultan menggantikan semula tanah rizab Melayu terutamanya yang diambil untuk projek awam bagi mengelak status aset itu dilupus begitu sahaja.

Beliau turut meminta Majlis Raja-Raja mengkaji kemungkinan berlakunya ketirisan dalam proses pengambilan tanah rizab berkenaan di negeri-negeri yang terlibat.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata negeri itu tidak mempunyai Tanah Rizab Melayu, bagaimanapun mempunyai Tanah Adat Melaka (MCL) di bawah Akta Kanun Tanah Negara (Hakmilik Pulau Pinang dan Melaka) (Akta 518) 1963 yang berkuatkuasa pada 1 Jan 1966.

Idris berkata sehingga tahun lepas Melaka mempunyai 130,618 hektar tanah MCL berbanding 31,459.07 hektar pada tahun 2000.

Beliau berkata usaha kerajaan negeri dalam mempertahan tanah MCL adalah melalui kawalan pemilikan melalui Akta 518 yang menggariskan bahawa pindah milik, pajakan, turun milik atau cagaran tanah adat hanya boleh dibuat kepada orang Melayu sahaja.

Di SHAH ALAM, Keluasan tanah rizab Melayu di Selangor telah meningkat dua kali ganda daripada 51,083.50 hektar pada 2009 kepada 170,533 hektar pada tahun ini, menurut Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...