Friday 12 September 2014

Harga Rumah Meningkat 3-4% Ekoran Pelaksanaan GST


Menurut Kerajaan memerintah, GST tidak akan menyebabkan harga barangan sedia ada meningkat.


Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, "Kita telah membuat kajian mendalam, matlamat kita adalah untuk menjaga kesejahteraan rakyat."

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal pula berkata, "Kabinet sudah putuskan dan ini satu langkah yang tidak membebankan rakyat kerana langkah ini telah diperincikan beberapa kali."

Manakala Pengerusi Panel Penilaian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Kamariah Hussain pula berkata, antaranya rakyat hanya perlu membayar GST enam peratus ketika menjamu selera di restoran makanan segera berbanding cukai perkhidmatan lebih tinggi dikenakan sekarang.

"Dengan pelaksanaan GST, peniaga boleh menawarkan harga yang lebih murah hasil penjimatan daripada pembayaran cukai," katanya.

Tetapi....kenapa REHDA kata harga rumah akan naik kerana GST?

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menjangka harga rumah akan naik antara tiga hingga empat peratus berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bermula 1 April 2015.

Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor berkata, kenaikan tersebut berlaku selaras dengan peningkatan kos membina rumah sebanyak kira-kira 20 peratus yang kini ditanggung oleh pemaju berikutan kenaikan harga bahan binaan seperti pasir, simen, konkrit, premium tanah dan sebagainya.

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun masih mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berhubung pelaksanaan GST dalam sektor hartanah khususnya perumahan yang merupakan antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Kita mengalu-alukan pelaksanaan GST namun berharap pelaksanaan dibuat secara telus dan bijaksana bagi memastikan sebarang impak yang mungkin timbul kelak tidak membebankan pemaju serta pembeli secara keseluruhannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian perumahan REHDA bagi tempoh separuh pertama 2014 di sini. Yang turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Soam Heng Choon.

Mengulas lanjut, FD Iskandar berkata, kajian yang dijalankan REHDA mendapati sebanyak 85 peratus respondens (dalam kalangan pemaju hartanah di Semenanjung Malaysia) mengakui perniagaan mereka terjejas berikutan ‘langkah-langkah penstabilan’ pasaran hartanah yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam Bajet 2014 lalu.

Justeru beliau berharap, kerajaan membenarkan semula pelaksanaan Skim Berjajaran Kepentingan Pemaju (DIBS) untuk pembeli rumah pertama berharga tidak melebihi RM400,000.

Kerajaan dalam Bajet 2014 melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah.

Kerajaan juga melaksanakan beberapa mekanisme kawalan iaitu melalui pengurangan Loan To Value (LTV) kepada 70 peratus sahaja bagi pinjaman perumahan untuk pembelian rumah ketiga dan seterusnya serta mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT).

FD Iskandar dalam pada itu turut berharap Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan meneliti semula syarat pinjaman perumahan kerana ramai pembeli khususnya pembeli rumah pertama sukar mendapatkan pembiayaan.

Beliau berkata, syarat pembiayaan perumahan yang ketat menyebabkan jualan sektor hartanah terutama kediaman berharga antara RM250,001 hingga RM500,000 menyusut pada separuh pertama 2014.

"Secara umumnya, para pemaju bersikap neutral dan pasimis terhadap unjuran industri hartanah bagi tempoh separuh kedua 2014 dan keadaan itu dijangka berterusan pada separuh pertama 2015," katanya.

Terkadang aku terfikir jugak, adakah ahli politik di Malaysia ini sedang menipu rakyatnya sendiri? Apakah mereka ingat rakyat pada masa kini mudah ditipu lagi?

Alhamdulillah aku dah pun beli rumah yang harganya RM270k. Nak beli rumah kedua untuk buat aset dah tak berapa nak boleh sebabnya Bank Negara dah ketatkan syarat pinjaman. So kena tunggu gaji tinggi lagi. But by that time harga rumah pun dah melambung tinggi.

Graduan yang baru keluar universiti pun hanya mampu untuk menyewa pada masa kini kerana tak mampu nak beli rumah. Tetapi sampai bila nak menyewa? Gaji yang ditawarkan pun tidak setinggi mana berbanding dengan negara lain. Mesti lepas ni ada pak menteri yang kata "kalau nak gaji tinggi, pi dok luar negara, tok sah dok Malaysia." Tapi hangpa sakan buat kempen untuk panggil professional di luar negara balik untuk berbakti di Malaysia.

Flip-flop yang tidak berkesudahan. Yang merana, rakyat juga akibat urustadbir negara yang tidak cekap lantaran nafsu serakah yang melonjak demi kepentingan peribadi tanpa menghiraukan orang lain.

Sampai bila harus begini?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...