Tuesday 16 September 2014

Wakil Pemuda PAS Keluar Dewan Ketika Mat Sabu Berucap


KOTA TINGGI 16 Sept - Kehadiran Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bagi merasmikan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Ke-55 tidak disenangi sebilangan perwakilan sayap parti itu yang bertindak meninggalkan dewan ketika pemimpin PAS berkenaan berucap.

Difahamkan tindakan kira-kira 50 perwakilan itu berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap Mohamad ataupun lebih dikenali sebagai Mat Sabu yang sebelum ini mempertikai kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama, khususnya berhubung krisis Menteri Besar Selangor.

Kumpulan perwakilan terbabit yang dipercayai kumpulan pro-Ulama, memakai jaket yang tertera 'Kami bersama Presiden dan Majlis Syura Ulama'.

Mereka keluar meninggalkan dewan muktamar sebaik Mat Sabu memulakan ucapannya dan masuk semula selepas beliau selesai berucap.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata insiden seperti keluar dewan itu tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan Pemuda PAS.

"Saya tidak dapat pastikan kerana saya duduk di hadapan. Tetapi saya harap perkara itu tidak berlaku dalam suasana kehebatan pada pemuda yang ada pada hari ini.

"Bagaimanapun, kita akan dengar laporan daripada Muktamar Pemuda apa yang berlaku sebenarnya," katanya selepas perasmian Muktamar Tahunan Pemuda PAS ke-55 di sini, sebentar tadi.

Mat Sabu, bagaimanapun menafikan tindakan sebilangan perwakilan berkenaan sebagai tanda protes kepada beliau.

"Keluar masuk dewan itu perkara biasa. Kebetulan ketika saya berucap, sudah masuk waktu Asar. Takkan kita nak halang mereka keluar masuk," katanya pada sidang media selepas itu.

Foto kredit Anak Sungai Derhaka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...