Sunday 21 September 2014

PRK Pengkalan Kubor : Calon Bebas Kecewa...


Calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor Izat Bukhary Ismail Bukhary kecewa apabila pertandingan Mencipta Pen Paling Besar dan Kreatif anjurannya tidak mendapat sambutan.

Sejak beliau mengumumkan pertandingan itu Khamis lepas, Izat Bukhary berkata tidak seorangpun penduduk dalam kawasan Pengkalan Kubor menghubunginya dan bertanyakan tentang pertandingan berkenaan.

Beliau berkata walaupun pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM2,400 kepada penduduk di kawasan berkenaan, ia tidak mendapat sambutan dan kini cuma berbaki empat hari untuk berkempen.

"Tarikh tutup untuk menyertainya ialah pada Selasa ini, dan apapun saya masih menunggu pengundi yang mahu menyertainya," katanya.

Izat Bukhary menggunakan lambang pen pada PRK DUN Pengkalan Kubor 25 September ini, yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan beliau sendiri.

PRK itu diadakan berikutan kematian ADUN Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, 57, daripada BN pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi lapor Rakyat News.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...