Tuesday 23 September 2014

Petugas TH Tambah Baik Perkhidmatan Dengan Idea Inovasi



Petugas Tabung Haji (TH) perlu terus menambah baik perkhidmatan haji dengan idea-idea inovasi bagi memastikan pencapaiannya terus dipertingkat.

Ketua Rombongan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH kini diiktiraf sebagai sebuah badan pengurusan haji yang berjaya menguruskan jemaah haji dengan baik di persada antarabangsa.

"Bukan hanya mengurus penginapan dan urusan ibadah haji, tetapi juga turut mengadakan kursus bimbingan haji baik di Malaysia dan juga di Tanah Suci, selain mengadakan kemudahan perubatan, kewangan, pengurusan bagasi dan sebagainya," katanya pada perhimpunan petugas TH bersama Ketua Rombongan Haji di sini Selasa.

Katanya idea inovasi TH, termasuk pemakaian lanyard berwarna-warni bagi menanda kategori jemaah, iaitu warna oren bagi jemaah yang baru sampai bagi mengelakkan mereka tersasar, diguna pakai oleh Muassasah Asia Tenggara untuk jemaah dari Asia Tenggara, yang dianggarkan melebihi 300,000 jemaah.

"Ini adalah antara amal jariah TH yang dapat dikongsi dengan jemaah haji dari negara-negara lain," katanya.

Syed Saleh berkata usaha menambah baik pengurusan haji bukan hanya meliputi perkara asas sahaja, tetapi juga pada perkara khusus termasuk teg berwarna bagasi jemaah haji bagi memastikan tingkat mana bagasi itu perlu dihantar di maktab-maktab penginapan.

Katanya selain mengadakan bimbingan ibadah oleh para pembimbingnya, TH turut menawarkan talian ibadah bagi jemaah haji mendapat maklum balas melalui panggilan telefon.

'TH juga melatih tukang masak Muassasah Asia Tenggara menyediakan makanan Malaysia untuk jemaah haji semasa wukuf di Arafah, mabit di Mudzalifah dan melontar di Mina," katanya.

Syed Saleh berkata segala usaha yang dijalankan oleh TH sejak beroperasi 51 tahun lepas, mendapat perhatian negara luar, termasuk Pakistan, Tunisia, Bosnia, Thailand dan Nigeria.

Beliau berkata selain sibuk memberikan perkhidmatan kepada jemaah haji, para petugas TH di Tanah Suci turut diaudit oleh Sirim Bhd dan juga audit dalaman TH bagi memastikan prosedur ISO sentiasa diamalkan.

Syed Saleh berharap para petugas haji dapat memberikan perkhidmatan sebaik-baiknya kepada jemaah haji, yang merupakan tetamu Allah semasa Masyair nanti, atau hari kemuncak haji yang bermula dengan wukuf di Arafah sehingga selesai melontar jamrah di Mina pada 13 Zulhijah.

Menyentuh mengenai jemaah haji, beliau amat bersyukur sehingga kini semua dalam keadaan sihat dan terkawal, terutama daripada strok haba berikutan cuaca panas serta penyakit berjangkit seperti Ebola dan Middle East Respiratory Syndrome Corona Virus (MERS-CoV).

Sementara itu, seramai 19,937 daripada 22,320 jemaah haji berada di Tanah Suci berikutan ketibaan dua lagi penerbangan semalam iaitu KT57 dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL sebanyak 448 jemaah dan KT58 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor yang membawa 279 jemaah lapor Bernama.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...