Monday 15 September 2014

Selamat Hari Malaysia


Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negara Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi.

Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei.

Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak, dan Sabah terhadap gagasan Malaysia.

Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato' Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada Kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Pada 21 Jun 1962, laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold tersebut.

Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk Dr. Ismail Dato' Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V. T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom). Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold McMillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu.

Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963 di hadapan 30 ribu rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang-gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. 

Di ekstrak dari sini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...