Wednesday 17 September 2014

Sesuatu Yang Tidak Mengejutkan


Laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini bukanlah seauatu yang mengejutkan kerana perkara ini telah berlaku begitu lama secara senyap-senyap yang dilakukan oleh pihak tertentu.

Aku tertarik dengan satu daripada tujuh wasiat raja-raja Melayu semasa pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah MELAYU pada 5 Ogos 1957 yang mana menyatakan 'Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum-kaum lain.'

Persoalannya, mana baki 38%? 

Laporan Malaysian Insider pada 16 Jun 2014:

Seluas 9.74 hektar tanah rizab Melayu di Selangor diberi hak milik kepada orang bukan Melayu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2, hari ini.

Menurut laporan itu, semakan terhadap 129 carian rasmi kepada dokumen hak milik mendapati ia melibatkan 18 (13.9%) hak milik tanah di daerah Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Perkara ini menyebabkan kepentingan orang Melayu terhadap tanah rizab Melayu terjejas dan keluasan tanah rizab Melayu yang boleh diberi milik kepada orang Melayu berkurangan, menurut laporan itu.

Berdasarkan maklum balas bertarikh 7 April 2014, Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) Kuala Selangor memaklumkan pemilik asal tanah terlibat adalah orang bukan Melayu.

Menurut PDT Klang pula, perkara ini berlaku kerana tanah tersebut terlibat dengan proses pecah sempadan dengan endorsan tanah rizab Melayu tidak dimasukkan semasa hak milik baru didaftarkan mengakibatkan berlakunya pindah milik kepada orang bukan Melayu.

Bagaimanapun, PDT Klang tidak mengemukakan bukti untuk menyokong urusan pindah milik ini, menurut laporan itu.

Seterusnya, laporan audit mendedahkan terdapat tanah rizab Melayu di Ampar Tenang, Sepang dan Sungai Lang, Sabak Bernam pula diduduki dan diusahakan oleh orang bukan Melayu.

Mereka menjalankan perniagaan gerai makan, bengkel kereta serta membina bangunan di tanah rizab Melayu.

Ketua Audit Negara antara lain mengesyorkan pihak Pejabat Tanah Dan Galian Selangor dan PDT menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca dan kaedah bagi menyekat pemberimilikan tanah rizab Melayu kepada orang bukan Melayu.

Ia juga harus meliputi pindah milik tanah pegangan orang Melayu kepada orang bukan Melayu daripada terus berlaku serta membuat pembatalan dan penggantian tanah rizab Melayu yang sewajarnya.

Aku percaya, ia tidak berlaku di Selangor sahaja. 

Tan Sri Muhyiddin ketika menjadi Menteri Besar Johor pada 1988 hingga 1995 bertanggungjawab memberi ruang lebih besar kepada penduduk dari Singapura memilik banyak hartanah di Johor. Akibat daripada dasar terbuka itu menyebabkan banyak tanah rizab Melayu di daerah Johor Bahru tergadai. 

Dan berikutan itu Muhyiddin dipindahkan ke pusat sebagai menteri kabinet oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai usaha menyelamatkan karier politiknya.

Dan hari ini beliau berjaya mendaki tangga keemasan politik dalam Umno apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Persoalan lagi, bagaimana UMNO hendak menjadi parti yang membela orang Melayu sedangkan mereka sendiri yang menggadai dan menjual rizab Melayu kepada orang asing dari Singapura?

Adakah cucu-cicit kita nanti masih dapat merasai keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu? Hanya masa yang menentukan.

P/S: Agaknya apa lagi enam wasiat tu?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...