Sunday 21 September 2014

Dua ADUN PAS Bukan Barua...


Tindakan dua ADUN PAS yang memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bukanlah 'barua' parti, seperti yang dilabel Presiden PAS.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar berkata, serangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap KEADILAN ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Muktamar Tahunan PAS ke-60 itu disifatkan agak keterlaluan, melampau dan tidak mencerminkan akhlak seorang ulama.


"Apa yang dilakukan oleh dua ADUN PAS ialah semata-mata melaksanakan keputusan mesyuarat ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bertarikh 17 Ogos 2014 iaitu mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan mencalonkan dua nama, Wan Azizah dan ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali sebagai calon MB Selangor.

"Justeru, melabelkan kedua-dua mereka sebagai 'barua' PAS tentunya mengiyakan pepatah Melayu - "Ibarat menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri," katanya.

Pada Sabtu,Abdul Hadi mendakwa ada pihak yang menjadi 'broker' dan 'barua' yang mencuri dua ADUN partinya di Selangor.

Tegas Abdul Hadi, pihak berkenaan memujuk ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnol Baharuddin untuk menandatangani akuan bersumpah menyokong Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Sehubungan itu, jelas Shamsul, pihaknya turut mengalu-alukan ucapan Abdul Hadi semasa ucapan dasar bahawa PAS akan masih terus kekal bersama Pakatan Rakyat dan tidak akan sama sekali bersekongkol dengan UMNO

"Tentunya kami amat yakin dengan masa depan Pakatan Rakyat (PR) walaupun buat masa ini kami berhadapan dengan sedikit gelombang.

"Selanjutnya kami ingin mencadangkan proses membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi PR mesti diperkasakan. Amalan membuat keputusan bertindih mesti dihentikan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, persefahaman mengenai MB Selangor dan juga menteri-menteri besar negeri yang ditadbir oleh PR tentunya tidak menuntut kepada persefahaman secara bertulis.

"Proses yang berlaku ialah musyawarah dan kemudiannya muafakat. Misalnya semasa menentukan MB Perak selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, walaupun kerusi KEADILAN melebihi PAS, kami tetap menyokong ADUN PAS menjadi MB Perak," jelasnya.

Shamsul turut berkata, ia termasuk pengorbanan KEADILAN di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor yang harus dilihat di dalam kerangka muafakat sesama PR lapor Astro Awani.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...